Tuesday, February 15, 2011

Kalam Sang Murabbi Bersadur Kasih Sayang......

Mengingati keagungan Nabi

ANNIE Besat di dalam bukunya, The Life and Teachings of Muhammad berkata: “Seseorang yang mengkaji kehidupan beliau dan sifat nabi dari bumi Arab ini dan tahu mengenai ajaran dan cara hidupnya, pasti memberikan penghormatan kepada nabi yang agung ini.

Masjidil Nabawi adalah masjid yang pertama dibina secara gotong-royong oleh Rasulullah SAW dan para sahabat sebaik hijrah umat Islam dari Kota Mekah ke Kota Madinah.


“Manusia yang ganas dapat beliau lembutkan, insan yang tertindas berjaya dimerdekakan dan manusia padang pasir yang tidak pernah dikenali akhirnya mampu meruntuhkan empayar Rom dan Parsi. Beliau juga berjaya menggantikan cara hidup sesat yang jahiliah kepada tamadun unggul yang saintifik.”
GEORGE Bernard Shaw, ahli falsafah berbangsa Inggeris yang berpengaruh berkata di dalam buku Letter to Najmi Sahib of Cyprus: “Secara terancang, orang-orang Kristian dan pendakwahnya memberi gambaran hodoh mengenai Islam dan rasulnya.
“Saya sempat mengkaji Islam dan rasulnya bersungguh-sungguh sebagai pengkaji sejarah dan pengkritik. Saya dapati, Muhammad memang manusia yang agung, malah beliau adalah penyelamat bagi manusia yang sedang menderita sakit tenat.”
BUKU The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History karangan Michael H. Hart, seorang ahli sejarah, pakar matematik dan astronomi menyatakan: “Pemilihan Muhammad sebagai tokoh yang begitu berpengaruh di dunia mungkin mengejutkan sesetengah pembaca.
“Saya memilihnya sebab hanya beliau seorang sahaja dalam sejarah yang begitu berjaya dalam dua bidang iaitu keagamaan dan keduniaan. Beliau mengembangkan satu agama terhebat di dunia dan menjadi seorang pemimpin politik yang unggul. Pada hari ini, 13 abad selepas kewafatan beliau, pengaruhnya masih hebat dan terus berkembang.”
MEMBACA kenyataan penulis-penulis tersebut memberikan kita satu gambaran mengenai kehebatan Rasullulah SAW.
Walaupun mereka bukan beragama Islam, mempunyai latar belakang pendidikan yang pelbagai, berjaya dan terkenal dalam bidang masing-masing tetapi tumpuan mereka sama.
Mereka berminat membuat penyelidikan mengenai Nabi Muhammad dan risalah yang dibawa baginda Rasulullah SAW yang menjadi model contoh umat Islam di seluruh dunia.
Menariknya, tidak ada satupun komen yang negatif diutarakan. Malah mereka sepakat mengakui kejayaan Muhammad bin Abdullah mengatasi kegagahan dan kehebatan pahlawan dunia seperti Alexander the Great, Spartan, Troy, Julius Caesar mahupun Gengis Khan.
Masya-Allah! Betapa bertuahnya umat manusia di dunia ini khasnya, umat Islam yang dengan jujur dan ikhlas mengakui dengan sebenar-benar pengakuan bahawa "Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah".
Lantaran itulah apabila tibanya tarikh 12 Rabiulawal, seluruh dunia tidak terkecuali di negara kita akan meraikan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Kebiasaannya, program seperti perarakan sambil mengalunkan puji-pujian dan berselawat ke atas baginda Rasulullah, penganugerahan tokoh, diselangi persembahan hiburan Islamik diadakan dengan diikuti ceramah agama selain kenduri kesyukuran.
Sayangnya, ada segelintir pihak yang mempertikaikan upacara sambutan sebegini dengan alasan ia tidak pernah dilakukan oleh mana-mana para sahabat selepas kewafatan baginda.
Namun menyedari hari itu sarat dengan falsafah, makna serta lambang kemegahan dalam kehidupan seorang Muslim, sekali gus memperingati sirah atau sejarah perjuangan hidup Rasulullah SAW, maka kewajaran umat Islam meraikan peristiwa besar dalam takwim hijrah ini jelas ada positif dan pahalanya.
Pun begitu, saran mantan Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-hafiz, sambutan Maulidur Rasul perlu anjakan dan kemajuan dari perspektif rohani dan jasmani. Di samping perlu penekanan aspek mesej yang hendak disampaikan, waima dalam apa sahaja bentuk penyampaiannya.
Sekadar mengulangi?
Jelas beliau, janganlah sambutan hari itu sekadar mengulangi apa yang ditakwimkan sejak bertahun lampau atau hanya merealisasikan sasaran kerja tahunan sesetengah agensi dan organisasi bertanggungjawab.
"Saya pernah mencadangkan kepada dua mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Brigedier Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin dan Datuk Dr. Abdullah Md. Zin agar sambutan Maulidur Rasul tidak perlu diadakan majlis perarakan. Sebaliknya ditumpukan kepada perhimpunan, ceramah, seminar atau apa pengisian yang bermanfaat serta mencapai matlamat sempena Maulidur Rasul.
"Ini untuk membezakan ia dengan sambutan Maal Hijrah. Maal Hijrah itu ialah penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah. Jadi konsep berarak itu lebih sesuai berbanding semasa meraikan sambutan Maulidur Rasul.
"Malah kandungan program juga biarlah menepati keperluan rohani. Acara-acara seperti penganjuran konsert dengan penyertaan artis terkemuka tanah air juga satu kaedah terkini untuk menarik lebih ramai hadirin terutamanya, golongan muda.
Namun, mesej daripada penganjuran itu perlu diambil kira supaya hari tersebut bukan sekadar digunakan untuk keseronokan yang melekakan," jelas Abu Hassan mengulas pengalaman luas beliau bergelar tokoh agama lebih tiga dekad.
Tambah Abu Hassan, bila sebut sambutan Maulidur Rasul, mengikut tradisi cara sambutan umat Islam di negara kita, program seperti ceramah, forum dan seminar adalah sinonim ketibaan Rabiulawal.
Berbeza dengan cara sambutan negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan, Syria dan termasuk juga di Asia Barat. Menurut Abu Hassan, cara sambutan mereka lebih banyak melibatkan perarakan tarekat, berkumpul, berzikir dan berwirid.
Mengambil contoh negara jiran iaitu Singapura dalam menyambut Maulidur Rasul, kata Abu Hassan, walaupun negara itu penduduk majoritinya bukan Islam tetapi mereka mampu menghimpunkan kira-kira 60,000 penduduk Islam negara itu dalam sebuah stadium.
"Saya sehingga kini masih terfikir dan tertanya-tanya bagaimana seorang yang bukannya penceramah agama, cuma sekadar anak seorang tokoh ulama di Singapura itu berjaya melakukan sedemikian.
Bukan kerja mudah
"Mengumpulkan sebegitu ramainya manusia untuk satu-satu masa tertentu, apa lagi dalam sambutan yang berkaitan keagamaan, bukanlah kerja mudah. Tetapi mereka di sana berjaya membuktikannya.
"Walaupun kita yang memiliki majoriti penduduk Islam iaitu lebih 60 peratus daripada jumlah penduduk negara ini, masih belum mampu.
"Pihak penganjur negara itu, pernah menjemput penghibur tersohor dari Indonesia iaitu Rhoma Irama. Ini mungkin salah satu cara mereka menambah nilai dalam program tersebut," kata Abu Hassan.
Beliau bagaimanapun kurang bersetuju menggunakan pendekatan golongan artis luar negara dalam acara keagamaan umat Islam. Bagi Abu Hassan pendakwah serta artis tempatan di negara ini masih berkemampuan dan berupaya menjadikan hasrat di atas satu kenyataan.
Malah beliau tidak menolak penganjuran program berbentuk konsert hiburan Islamik bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul mahupun Maal Hijrah.
Penggunaan artis yang digandingkan dengan tokoh agama ataupun pendakwah, kata Abu Hassan adalah soal kedua. Apa yang lebih penting dan perlu menjadi keutamaan ialah mesej yang hendak disampaikan.
"Seandainya sekadar sebagai hiburan, itu tidak mencapai matlamat Maulidur Rasul iaitu agar umat Islam mengenali atau lebih rapat dan mencintai Rasulullah, sekali gus diterjemahkan dalam kehidupan kini.
"Umat Islam terutamanya generasi muda perlu ditimbulkan kesedaran sebagai penerus kegemilangan Islam," ujarnya ringkas.
Seperkara lagi yang ditekankan ikon Oasis serta hos program Bicara Kifayahmenerusi saluran 106 Astro Oasis ini ialah keperluan segera memahamkan kepada umat Islam pengertian sebenar sunah Nabi itu.
Katanya: "Ramai orang memperkatakan tentang keperluan kita mengikut sunah nabi itulah, sunah nabi inilah.., tapi sayangnya, pemahaman mereka mengenainya masih cetek".
Sempena sambutan Maulidur Rasul ini, seharusnya umat Islam mengingati tiga tugas utama Nabi Muhammad dan sentiasa ingin meniru sifat Baginda Rasulullah. Barulah Maulidur Rasul yang disambut setiap tahun itu tidak tinggal tema dan amanat begitu sahaja.
Meneruskan tugas Nabi
Surah Ali Imran ayat 164 menunjukkan kita tugas Rasulullah yang perlu diteruskan oleh umatnya. Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.
Namun beliau akui tugas itu bukanlah mudah dan memerlukan kerja kuat, keazaman serta keyakinan untuk berjaya.
Pesan beliau juga, umat Islam tidak seharusnya hanya mengutamakan akhirat semata-mata sehingga meninggalkan langsung urusan duniawi kerana itu lebih merugikan umat Islam di dunia dan di akhirat.
"Sebagai khalifah Allah di muka bumi maka kita perlu memakmurkan bumi Allah. Kita tidak boleh lari dari dunia dan kena ikut serta, cuma jangan lalai dan menjadi pengikut," kata Abu Hassan.
Peristiwa penting pada Rabiulawal
TERDAPAT banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah tentang jatuh bangunnya tamadun Islam pada bulan Rabiulawal. Di antaranya;
- Kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sumber-sumber mengatakan bahawa baginda lahir pada 12 Rabiulawal, tahun Gajah bersamaan 23 April 571M.
Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidur Rasul sehingga sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber lain yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW dilahir pada 9 Rabiulawal, tahun Gajah.
- Pelantikan Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul. Pada bulan Rabiulawal inilah baginda telah diangkat menjadi Rasul ketika usia baginda 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda secara rasmi di Mekah al-Mukarramah.
- Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yathrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal lalu baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.
- Peperangan banyak berlaku pada zaman Rasulullah SAW di antara tentera Islam dan tentera kufar. Di antara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.
- Wafatnya junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW ialah pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.
- Abu Bakar ra. dipilih menjadi khalifah pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah Saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah SAW yang diketuai oleh Saidina Ali ra.
-Pembukaan Baitul Muqaddis.
Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.

0 Pakat-pakat muhong:

Post a Comment